Semasa

AMK cadang alih peruntukan kepada IKR lepas pembangkang tolak MoU

Tindakan parti pembangkang menolak dua set draf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli Parlimennya disifatkan sebagai hipokrit.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, pihak itu sebenarnya mempunyai pilihan untuk meneruskan rundingan dan melaksanakan kebertanggungjawaban terhadap peruntukan tersebut melalui mekanisme MoU.

Namun sebaliknya mereka memilih menolak draf itu dan berpura-pura menjadi mangsa keadaan.

“Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin terkait penolakan memeterai MoU adalah cubaan menolak sikap kebertanggungjawaban terhadap peruntukan yang hendak diberikan.

“Rakyat tidak lupa, sebelum draf MoU diserahkan kepada pimpinan pembangkang pun tiada pimpinan Perikatan Nasional (PN) mahupun ketua pembangkang hadir berunding sehingga lebih setahun PN berperanan sebagai pembangkang,”ujarnya dalam satu kenyataan.

PN pada Ahad mengesahkan pembangkang sebulat suara menolak dua draf MoU daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen PN.

Hamzah berkata keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan. Bagaimanapun alasan kepada penolakan itu tidak diperincikan secara jelas.

BACA LAGI: 502 projek IKR diluluskan dengan peruntukkan RM76.3 juta

Sementara itu Haziq Azfar berkata, susulan keputusan pembangkang itu, kerajaan wajar mempertimbangkan agar peruntukan itu disalurkan kepada Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) bagi setiap kawasan sekiranya pembangkang terus bermain politik.

“Hakikatnya IKR yang diusahakan oleh Kerajaan Perpaduan merupakan salah satu usaha ‘underrated’ bagi mendemokrasikan dana kerajaan dengan membenarkan orang awam memohon sebarang pembangunan kecil secara terus,” katanya.

Related Articles

Back to top button