Politik

Pembangkang jangan kelirukan rakyat dengan alasan tolak MoU peruntukan – Chang Lih Kang

Naib Presiden KEADILAN Chang Lih Kang membidas dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan peruntukan ahli parlimen mengandungi syarat bertentangan Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Islam dan hak istimewa bumiputera.

Chang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim menyifatkan alasan pembangkang menolak MoU itu kerana memerlukan ahli parlimen PN mengiktiraf hak sama rata untuk semua tanpa mengira kaum atau agama sebagai permainan politik.

Tegasnya, kesaksamaan di sisi undang-undang tidak menafikan hak istimewa yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera, tetapi memastikan keadilan untuk semua rakyat.

“Pertikaian PAS langsung tidak munasabah kerana Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan terkait kesaksamaan sudah ada sekian lama sejak negara mencapai kemerdekaan, termasuklah sewaktu 33 bulan pentadbiran PAS dan PN.

“Jika mengikut logik PAS, adakah mereka mahu meminda Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan hanya kerana mereka fobia dengan perkataan kesaksamaan dan kesamarataan,” soal Chang.

Susulan itu beliau menyeru pemimpin pembangkang berhenti mengelirukan rakyat dengan tafsiran undang-undang yang selektif dan sebaliknya menyemarakkan semangat perpaduan, terutamanya semasa Malaysia menyambut pembentukannya pada 16 September.

“Semangat Hari Malaysia adalah mengenai membina sebuah negara yang inklusif dan bersatu.

“Saya menyeru PAS agar tidak mengelirukan rakyat dengan tafsiran yang selektif sebaliknya menghayati semangat Hari Malaysia dengan menegakkan perpaduan, keharmonian, dan keadilan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dipetik.

BACA LAGI: Pas galak bina naratif jahat kerana bimbang Islam makin subur dibawah Kerajaan Perpaduan

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan draf MoU yang menggariskan obligasi wakil rakyat itu juga perlu mengakui dan mengisytiharkan Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua manusia, dan semua rakyat mempunyai peranan untuk mempromosi dan menggalakkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua, tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, dan budaya.

Penandatangan juga mengakui dan mengisytiharkan Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia berdasarkan prinsip bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan saksama, dan mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan yang saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan.
.

Related Articles

Back to top button