Semasa

4,400 usahawan Sabah terima pembiayaan TEKUN sepanjang 2024

Seramai 4,400 usahawan informal dan mikro di Sabah telah menerima pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sepanjang tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sejumlah RM98.9 juta telah disalurkan bagi tujuan tersebut sekaligus melebihi sasaran awal RM84.5 juta.

“Pembiayaan RM98.9 juta itu termasuk RM1.91 juta yang disalurkan kepada 480 usahawan yang berniaga di Pasar Tamu.

“TEKUN Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan informal dan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan,” katanya.

Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat TEKUN Sabah dan Pejabat TEKUN Cawangan Kota Kinabalu pada Ahad.

Mengulas pembukaan pejabat TEKUN Sabah di lokasi yang baharu, ia jelasnya langkah memperkukuh kedudukan serta memberi manfaat kepada para usahawan bagi seluruh Sabah khususnya di Kota Kinabalu.

“Ini merupakan inisiatif penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan dan saya yakin TEKUN Nasional akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatannya kepada masyarakat terutama usahawan informal dan mikro di seluruh negara,” kata Ahli Parlimen Penampang itu.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI salur RM1 Juta untuk program pemerkasaan usahawan veteran tentera

Beliau sementara itu memberitahu, sejak diwujudkan pada 1998 hingga kini agensi itu telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 587,216 usahawan yang bernilai RM9.7 bilion di seluruh negara.

“Bagi negeri Sabah, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM1.1 bilion kepada 64,313 usahawan bagi tempoh yang sama melalui 25 pejabat TEKUN Cawangan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button