Global

Malaysia gesa UNSC tegas, henti segera kekejaman Israel di Palestin, Lubnan

Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) segera mengambil tindakan tegas untuk menghentikan serangan kejam rejim Israel terhadap Palestin dan Lubnan.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) melalui satu kenyataan pada Rabu menegaskan, UNSC turut perlu melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan itu.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Zionis Israel di Lubnan baru-baru ini, yang telah mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang,” kata kenyataan itu.

Media pada Selasa melaporkan Israel melancarkan operasi ketenteraan ‘Operation Northern Arrows’ terhadap pejuang Hizbullah apabila mensasarkan 1,600 lokasi di Lubnan termasuk Lembah Bekaa.

Serangan itu membunuh hampir 500 orang termasuk 35 kanak-kanak selain 1,645 lagi cedera.

Ia turut mendorong puluhan ribu penduduk setempat melarikan diri, pada hari yang menyaksikan serangan paling dahsyat lagi berdarah di negara itu sejak beberapa dekad.

“Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa sama sekali tidak dapat diterima.

“Serangan yang menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia antarabangsa,” jelas Wisma Putra.

Dalam perkembangan berkaita, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di Lubnan membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara itu secara sukarela berikutan keadaan yang semakin meruncing.

BACA LAGI:Malaysia undi resolusi PBB, sokong hak Palestin untuk negara merdeka

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan warganegara Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di negara itu kembali stabil.

“Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di alamat Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut atau di talian 961 7677 2527, 961 7138 0063 serta [email protected],” katanya.

Related Articles

Back to top button