Pelajar aliran agama perlu juga kuasai teknologi – PM Anwar
Pendidikan aliran agama perlu diseimbangkan dengan tidak mengenepikan bidang lain termasuk sains dan teknologi, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi muda perlu menguasai dan meneroka bidang baharu supaya Malaysia tidak ketinggalan kerana dunia menuntut banyak perubahan saban hari.
“Kita tidak boleh ketinggalan sebab itu kerajaan mahu kita kembali landasan jangan menumpukan satu bidang termasuk menjadi hufaz tetapi meninggalkan keperluan menguasai teknologi dan pemikiran baharu supaya kita boleh memimpin.
“Maknanya ada keseimbangan antara keperluan kita sebagai umat menguasai ilmu asas al-Quran di samping meneroka menguasai alam dan disiplin baharu.
“Negara kita tidak boleh ketinggalan kalau tidak kita jadi alim tetapi negara dikuasaiā¦teknologi mereka pegang..kecanggihan ketenteraan dan kita hanya menonton rumah diroboh dan negara ditakluk sebab itu ada keperluan kita menguasai kedua-duanya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bukit Jalil semalam.
Turut hadir pada acara itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
SMISTA, yang ditubuhkan pada 2011, menawarkan pendidikan berteraskan agama serta pendidikan sains moden dan konvensional bertujuan melahirkan para huffaz yang mampu mengimbangi kehidupan dunia serta ukhrawi.
Kompleks SMISTA di Bukit Jalil bernilai RM70 juta diluluskan di bawah Geran Pembangunan (DE) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan dijadualkan bermula dalam suku kedua 2025 dan dijangka siap pada 2028.
Apabila siap dijangka boleh menempatkan 576 pelajar dan 130 guru berbanding kapasiti sedia ada iaitu hanya menampung 363 pelajar dan 86 guru termasuk pengurusan sekolah.
BACA LAGI: Martabat syiar Islam diperkukuh bawah Kerajaan MADANI melalui pendidikan
Sementara itu, Anwar menggesa pelaksanaan projek SMISTA disegerakan serta pemilihan tender dilaksanakan dengan teliti dan telus.
“Saya minta Dr Na’im dapatkan laporan dalam tempoh seminggu tentang perkembangan dan mahu proses tender dibuat dengan teliti.
“Kementerian kewangan boleh luluskan proses tender ‘fast track’ tetapi tender mesti ikut proses dan (pilih) kontraktor yang layak dan bertanggungjawab. Saya nak SMISTA disegerakan supaya siap sekolah ni dalam tempoh lebih cepat (daripada) yang dijangka,” katanya.