Semasa

Unit khas 3R bendung bibit perpecahan – Menteri KKD

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil melihat ada keperluan untuk mewujudkan satu unit terselaras antara agensi penguat kuasa dan penyedia platform media sosial bagi menangani isu berkaitan 3R (raja, agama dan kaum).

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam Fahmi berkata satu keputusan dicapai bagi memastikan tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk meraih sokongan politik dengan menyalahgunakan isu berkaitan 3R sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita tidak mahu ada bibit-bibit perpecahan akibat sentimen perkauman sempit menggunakan hujah yang dianggap sebagai keagamaan ekstrim atau memperlekeh, memperolok, hina dan hasut rakyat untuk tidak menghormati institusi raja,” katanya

Beliau turut memaklumkan perbincangan antara agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penyedia platform media sosial bagi tujuan itu.

Sementara itu Fahmi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN menegaskan, walaupun negara mengangkat hak kebebasan bersuara, namun ia tidak memberi ruang terhadap kebebasan untuk memfitnah, melaga-lagakan rakyat, mengadu-domba dan memainkan isu 3R.

“… Saya berpandangan kita ada undang-undang sedia ada dan sudah pasti untuk menjaga keamanan untuk keselamatan awam, pihak berkuasa bersedia untuk mengambil apa-apa tindakan yang wajar dan patut demi keamanan dan perpaduan dalam negara kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penahanan dan pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Fahmi berkata perkara itu sewajarnya menjadi pengajaran kepada semua agar tidak memperlekah institusi diraja.

Related Articles

Back to top button