Uncategorized

KPT tak mahu pelajar tercicir sambung pengajian hanya kerana isu kewangan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan membiarkan mana-mana pelajar yang layak menyambung pengajian tercicir hanya kerana kesempitan kewangan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, banyak kaedah bantuan untuk golongan kurang berkemampuan disediakan kerajaan antaranya melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional selain program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 (Sulung 2.0).

“Arahan sudah diberikan kepada semua IPTA, jika ada penuntut atau golongan B40 tidak mampu untuk membayar wang pendaftaran awal, pihak IPTA diminta menangguhkan dulu pembayaran itu.

“Semua pihak seperti HEPA (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan pihak universiti akan bantu, kita tidak mahu ada yang tercicir hanya disebabkan tidak mampu,” katanya.

“Bagi B40 atau yang tersenarai dalam (sistem) eKasih, jika anak pertama berjaya masuk universiti, mereka tidak perlu membayar yuran sepanjang pengajian melalui program Sulung 2.0 itu,” katanya.

Muatapha berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Elsevier Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Ke-3 sempena Hari Akademia 2024 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada Isnin.

Sementara itu sebagai mengulas kisah seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rafida Zaiddin yang menggunakan guni untuk membawa barangan ketika mendaftar masuk asrama baru-baru ini, Mustapha menyeru pelajar golongan B40 agar menghubungi HEPA sekiranya berdepan sebarang kesulitan.

BACA LAGI: 2,500 mahasiswa terima pengecualian yuran pengajian melalui program Siswa Sulung 2.0

“Ini hanya satu kes yang kita nampak, dan ia menyedihkan, tapi (berdasarkan) pengalaman saya di kementerian ini, ada yang terpaksa melupakan hasrat masuk ke universiti disebabkan kekangan kewangan ini.

“Apabila mendapat surat tawaran, pelajar perlu berterus-terang. Yang penting pelajar dahulu, kita tidak mahu ada yang tersekat dari segi yuran pendaftaran,” tambahnya.

Kisah Rafida yang tular di media sosial turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina melalui hantaran di Facebook pada Ahad, memaklumkan beliau telah menghubungi remaja berkenaan dan menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian.

Related Articles

Back to top button