Belanjawan 2025: Johari gesa ahli Parlimen serius berbahas, tidak main retorik politik
Dewan Rakyat adalah platform yang penting untuk membawa isu mustahak demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
Justeru, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul membuat gesaan agar semua ahli Dewan Rakyat menggunakan ruang perbahasan Belanjawan 2025 akan datang untuk membincangkan isu rakyat dengan serius.
Tambahnya, setiap ahli Parlimen perlu meninggalkan sentimen dan retorik politik di luar dewan agar perbahasan yang dilangsungkan dapat berjalan lancar.
“Anda (ahli parlimen) bercakap mengenai masa depan negara. Jadi, apa yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan itu amat penting.
“Kesemua mereka patut ambil peluang, bertanya dan memberikan pandangan.
“Kalau tidak, mereka rugi kerana pegawai-pegawai kerajaan telah bekerja keras menyediakan belanjawan yang seharusnya diambil kesempatan sebaiknya untuk kelangsungan kita,” katanya.
Dr Johari berkata begitu ketika ditemui selepas menghadiri program Townhall Ikon: Yang Dipertua Dewan Rakyat sempena Minggu Destini Siswa (MDS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam.
BACA LAGI: Setuju cadangan Ahli Parlimen difitnah dalam Dewan Rakyat bawa kes ke Mahkamah
Pada acara itu beliau melancarkan Aplikasi Siswa Madani yang dibangunkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) sebagai pusat sehenti bagi memudahkan mahasiswa golongan B40 di universiti awam memohon bantuan dengan lebih pantas.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan pada 18 Oktober ini dengan sasaran untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara.
Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, menerusi pembentangan tersebut, Malaysia akan mara satu langkah lagi menuju wawasan kerangka Ekonomi MADANI.