Negeri

Pensijilan halal produk Bumiputera penting untuk tembusi pasaran global – Amirudin

Kerajaan Negeri Selangor menyeru usahawan Bumiputera di negeri itu agar mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari melalui sidang media bersempena perasmian Ekspo Usahawan Selangor 2024 (SELBIZ) di Shah Alam pada Sabtu berkata, dengan adanya pengesahan halal berkenaan, produk usahawan mampu menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menjamin peningkatan pendapatan.

“Usahawan Bumiputera perlu ambil serius perkara ini. Semasa MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) baru-baru ini, ekosistem mengenai industri halal sedunia diberikan penekanan.

“Mereka (Bumiputera) tidak ambil sijil halal kerana dua faktor. Satu kerana tiada kemahuan kerana merasakan mereka muslim jadi orang rasakan produk mereka halal.

“Kedua sebab kos namun saya percaya Jakim sudah mengurangkan jumlahnya malah agensi itu sudah memperkemaskan permohonan supaya proses menjadi mudah,” katanya.

BACA LAGI: Selangor lahirkan 800 usahawan digital sepanjang tempoh setahun

Sementara itu Amirudin berkata pentadbiranya melalui agensi pembangunan usahawan seperti PKNS akan terus memberikan latihan bagi menyediakan usahawan ke arah mendapatkan sijil berkenaan.

“Kerajaan Negeri juga sediakan platform sebagai sokongan kepada mereka. Tidak dinafikan proses permohonan halal leceh kerana meliputi semua aspek termasuk proses penyediaan produk

“Hal ini menyebabkan ada usahawan merasakan malas, namun dengan sijil inilah produk mereka mendapat pengiktirafan daripada negara luar,”tambahnya.

Related Articles

Back to top button