Malaysia terima tugas Pengerusi ASEAN 2025 secara rasmi
Malaysia secara rasminya menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone pada Jumaat menyempurnakan upacara simbolik serahan tugas itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane.
Anwar melalui ucapan di majlis itu berkata, masa depan ASEAN mesti turut membabitkan Timor-Lest. Kemasukan negara itu dalam blok serantau ini jelasnya akan mengembangkan ekonomi rantau ini dan menyumbang kepada memenuhi visi besar ASEAN.
“Sambil mengukuhkan rantau ini secara dalaman, kita akan terus meneroka dan meluaskan perkongsian ekonomi kita di luar sempadan dan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China pada 2025 akan mencapai matlamat ini.
“ASEAN tidak akan berputus asa dalam menjaga Asia Tenggara sebagai rantau yang aman, stabil dan makmur. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengalu-alukan kedatangan anda semua. Selamat datang ke Malaysia,” katanya.
BACA LAGI: Malaysia akan terus perjuang cita-cita negara serantau
Pada majlis sama, Malaysia turut memperkenalkan logo ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Logo berkenaan memaparkan lambang ASEAN dalam kitaran berbentuk bunga raya, dengan warna yang mewakili warna utama bendera semua negara anggota ASEAN.