Semasa

GISBH: 70 kanak-kanak sudah dipulangkan kepada keluarga – Menteri

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, tindakan memisahkan kanak-kanak diselamatkan dari GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dengan ibu bapa mereka bertujuan memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan sepenuhnya.

Pada sesi libat urus dan ramah mesra bersama Ketua Pengarang Media di Putrajaya pada Jumaat Saifuddin menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memfokuskan siasatan kepada eksploitasi wanita dan kanak-kanak dan ia dilaksana mengikut lunas undang-undang.

“Kami fokus (siasatan) kepada eksploitasi wanita dan kanak-kanak termasuk potensi berlaku pelecehan seksual kanak-kanak mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017

“Setakat ini, 70 (kanak-kanak) sudah kami pulangkan kepada keluarga… sebahagian belum kami pulangkan, maksudnya belum selesai (siasatan).

“Ketika belum selesai, kalau ada ibu bapa yang nak temui (anak), sudah tentu polis kena urus perkara itu,” katanya sebagai mengulas dakwaan enam peguam yang mendakwa pemisahan kanak-kanak GISBH telah berlaku di luar sempadan protokol undang-undang termasuk yang digariskan dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.

Pihak PDRM melaksana Op Global sejak Septermber lalu susulan dakwaan GISBH terbabit eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berdasarkan laporan media berkata, sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 individu ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.

BACA LAGI: Kerajaan pilih Fauwaz Fadzil ketuai jawatankuasa pemulihan akidah anak-anak GISBH

Sementara itu Saifuddin memaklumkan, satu kenyataan rasmi menteri mengenai isu GISBH akan dibentangkan pada persidangan Parlimen minggu depan.

Beliau berkata, berdasarkan perancangan, kenyataan itu akan dibentangkan pada hari kedua persidangan bagi memberi ruang untuk Ahli Dewan Rakyat berbahas mengenai isu berkenaan.

Related Articles

Back to top button