Semasa

717 sekolah daif selesai proses naik taraf – KPM

Sebanyak 717 daripada 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara telah disiapkan sepenuhnya setakat minggu ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan berkata, projek terbabit membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion, dengan 339 projek dilaksanakan di Sabah, 400 di Sarawak dan 352 lagi di Semenanjung Malaysia.

“Tempoh pembinaan bagi pelaksanaan projek ini adalah antara enam hingga 36 bulan, tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak

“Baki 183 projek, kini sedang dalam pembinaan, 176 berada pada peringkat prabina dan 15 lagi sedang dinilai semula, kata kenyataan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik mengambil alih tampuk pentadbiran negara menegaskan, tumpuan kerajaan antaranya untuk segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia.

Langkah itu jelasnya demi memastikan kebajikan dan keselesaan pelajar terjamin sekaligus meningkatkan mutu pendidikan negara.

Komitmen kerajaan memperkasa pendidikan terbukti apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan tertinggi melalui Belanjawan 2023 iaitu sebanyak RM55. 2 bilion berbanding RM52. 6 bilion pada Belanjawan 2022.

Pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan MADANI Kedua pada 2024 dengan Kementerian Pendidikan diperuntukkan RM58.7 bilion.

Sementara itu KPM dalam kenyataan semalam menegaskan, dalam usaha memperkasakan pelaksanaan projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

BACA LAGI: Fadhlina nyata tekad KPM tambahbaik akses pendidikan sekolah pendalaman

KPM turut menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaras pelaksanaan projek di pelbagai peringkat, serta melaporkan status projek dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI.

“Kementerian Pendidikan Malaysia terus menjadikan inisiatif projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara sebagai keutamaan, bagi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid dapat dipertingkatkan,” menurut kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button