Semasa

Banjir: Menteri KPKM beri jaminan bekalan beras dalam pasaran mencukupi

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bekalan beras mencukupi bagi memenuhi keperluan meskipun beberapa kawasan penanaman padi di utara Semenanjung terjejas susulan banjir baru-baru ini.

Datuk Seri Mohamad Sabu ditemui selepas menghadiri satu program di Pontian pada semalam berkata, Malaysia telah memeterai penjanjian dengan beberapa negara pengeluar beras antaranya India dan Pakistan bagi tujuan import untuk memastikan bekalannya adalah mencukupi.

“Baru-baru ini, apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melawat India, kita ditawarkan tambahan (import) 200,000 tan beras lagi. Pakistan juga tawarkan beras putih,” katanya.

Beliau juga turut memaklumkan Malaysia juga mengimport bekalan beras dari Thailand dan Vietnam.

Mohamad Sabu melalui laporan media akhir bulan lalu memaklumkan, banjir yang melanda kawasan jelapang padi di Kedah dan Perlis menyebabkan kerugian dianggarkan RM40 juta kepada pesawah.

BACA LAGI: Bantuan untuk pesawah terjejas banjir di Kedah akan dipercepatkan

Bagi menangani kemungkinan berlaku kekurangan beras beliau berkata, bagi tempoh jangka pendek, kerajaan akan berusaha meningkatkan infrastruktur tanaman padi di luar kawasan tanaman rancangan bagi membolehkan pengeluaran beras dipertingkat secepat mungkin.

Manakala bagi perancangan jangka panjang, kementerian akan membuka jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak.

Related Articles

Back to top button