Semasa

REE: Sanusi bakal dipanggil SPRM

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media pada Khamis berkata setakat ini SPRM telah memanggil 12 saksi bagi membantu siasatan, Muhammad Sanusi bakal diambil memberi keterangan susulan surat tular berkaitan perlombongan REE yang ditandatangani beliau.

“Kita telah tangkap dua iaitu orang MBI seorang lagi pengarah syarikat swasta yang kita tengah siasat bergubung isu rasuah. Dan setakat tadi kita telah merakam percakapan 12 orang saksi.

“Ada surat yang diviralkan yang dihantar oleh Menteri Besar Kedah itu pun kita nak tengok kebenaran surat itu sebab dah keluar dalam internet,” katanya pada satu program di Kuala Terengganu.

Pada Rabu media melaporkan seorang pegawai tinggi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang pengarah wanita ditahan SPRM bagi membantu siasatan.

SPRM dilapor mengesan beberapa pembayaran disyaki membabitkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat terbabit kepada pihak tertentu sejak 2020 hingga 2023 bertujuan melindungi aktiviti tersebut.

Sementara itu Azam memaklumkan pihaknya kini mengesan dua lagi saksi luar negara melibatkan dari negara China yang dipercayai membuat pelaburan berkaitan perlombongan bagi melengkapkan siasatan kes itu.

SPRM juga akan memperhalusi siasatan berkaitan kes itu dan tidak menolak akan memanggil sesiapa yang berkaitan.

“Sesiapa pun akan dipanggil untuk memberi keterangan sebagaimana yang difikirkan perlu. Cuma lambat atau cepat.

“Saya tidak boleh mendedahkan lagi siapa yang akan dipanggil, ramai lagi saksi yang dipanggil. Antara kita nak panggil hal yang berkaitan prosedur untuk meluluskan pengeluaran REE ini dan ada banyak lagi,” jelasnya.

Ketika ditanya adakah pihak SPRM ditekan oleh pihak tertentu berhubung siasatan ini ketika menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Azam menyangkal sama sekali dakwaan berkenaan.

“Tidak ada yang manipulasi, sama ada PRN ke tidak PRN, yang keluar merit atau tidak kita akan siasat. Saya tidak bergerak atas pentas politik,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button