Semasa

Sijil Halal: Kerajaan MADANI komited bantu usahawan mikro, sederhana

Kerajaan MADANI terus komited membantu usahawan mikro dan sederhana mendapatkan pensijilan halal produk mereka daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, pensijilan itu bukan sahaja memperkasa industri halal negara sebaliknya memberi nilai tabah kepada perniagaan usahawan terbabit.

“Insya-Allah, sudah ada pelan yang digerakkan (untuk bantu) cuma kita ingin percepatkan lagi, belum boleh umum sekarang tapi ada pelan tindakannya.

“Kita perlu sentiasa memberikan kesedaran dan kefahaman terhadap realiti dan nilai tambah, halal bukan sahaja dari aspek kebersihan tapi kesihatan dan menyeluruh,” katanya

Beliau sebelumnya ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Sinergi Halal dan Zakat ‘Produkku Halal, Hasilku Berkat’, di Seremban pada Selasa.

Seminar anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang disertai lebih 400 usahawan hari ini dapat memberikan pendedahan tambahan mengenai industri halal justeru mereka dapat melaksanakan kewajipan zakat dan mengeluarkan produk diyakini halal.

BACA LAGI: Pensijilan halal produk Bumiputera penting untuk tembusi pasaran global – Amirudin

Mengulas lanjut beliau berkata, pengertian halal tidak sahaja merujuk kepada penyediaan dan pengurusan perniagaan terhadap bahan dan perkhidmatan tetapi ia juga pembiayaan kewangan yang perlu berpandukan syariah.

“Pensijilan halal kita sudah membanggakan dan diiktiraf dunia, namun kena lihat lapisan kedua iaitu pembiayaannya sebagai contoh untuk perbesarkan perniagaan, kalau perbankan elakkan (perbankan) konvensional, ini bagi menghalalkan keseluruhan aspek..pembiayaan perlu daripada sektor kewangan Islam,” katanya.

Related Articles

Back to top button