Parlimen

Pindaan perlembagaan berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan undi besar

Dewan Rakyat pada Khamis Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan.

Pindaan RUU itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Ia dibahaskan 70 Ahli Parlimen sebelum kemudian diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga atau seramai 206 Ahli Dewan bersetuju.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sesi penggulungan RUU itu berkata, pindaan ini akan menjadi satu undang-undang yang lebih inklusif, lebih adil serta melindungi hak warganegara Malaysia dimana saja mereka berada.

“Ini sebahagian inisiatif kita untuk melakukan perkara yang betul, terutama pindaan Perkara 14(1)(b) (Perlembagaan Persekutuan) iaitu warganegara menerusi kuatkuasa undang-undang ke atas anak-anak yang lahir di luar negara.

“Biarlah kita beri khabar gembira kepada kaum wanita dan ibu diluar sana. Kita sama-sama menjadi saksi, prihatin terhadap perkara yang sudah lama mereka perjuangkan,” katanya.

Antara aspek lain dipinda dalam Perlembagaan adalah melibatkan 15 Perlembagaan Persekutuan bagi mengenakan syarat tambahan pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu kepada mana-mana wanita bersuami yang membuat permohonan kewarganegaraan melalui pendaftaran.

Had umur untuk memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran juga dipinda daripada 21 kepada 18 tahun, selaras usia mengundi di negara ini dan takrif kanak-kanak seperti diperuntukkan Akta Umur Dewasa 1971.

BACA LAGI: RUU berkaitan kewarganegaraan bukti kesungguhan kerajaan lakukan reformasi

RUU itu juga akan meminda Perkara 26 Perlembagaan Persekutuan, memperuntukkan kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan mana-mana perempuan warga asing bersuami yang memperoleh kerakyatan, jika perkahwinan dibubarkan dalam tempoh dua tahun sejak menerima kewarganegaraan.

Seterusnya, seksyen baharu dimasukkan ke dalam Bahagian II Jadual Kedua, menghendaki individu berusia 18 tahun ke bawah yang memperoleh kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang untuk mengangkat sumpah apabila mencapai umur 18 tahun.

Selain itu, ia bagi meminda Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua untuk memperuntukkan kanak-kanak terdampar.

Related Articles

Back to top button