Parlimen

Mana belanjawan bayangan dari pembangkang?

Seorang Ahli Parlimen blok kerajaan mempersoal kegagalan Perikatan Nasional mengemuka belanjawan bayangan sebagai saingan kepada belanjawan kerajaan.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata, pembentangan belanjawan bayangan itu seperti diamalkan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang adalah penting sebagai cadangan yang membantu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat yang merupakan sebahagian langkah semak dan imbang kepada kerajaan

“Apabila PH dalam pembangkang, kami memainkan peranan semak dan imbang. Sejak 2010 hingga 2017, tanpa gagal, pembangkang membentangkan belanjawan bayangan

“Belanjawan bayangan boleh melakar apa yang akan dilaksanakan untuk mengatasi hutang negara dan melaksanakan program kebajikan rakyat serta untuk kebaikan negara.

“Selepas tiga kali belanjawan Kerajaan Perpaduan dibentang, saya masih belum nampak pembentangan belanjawan bayangan daripada PN ,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat.

Beliau sementara itu membidas Ahli Parlimen pembangkang yang dakwanya gagal membahaskan isu kepentingan rakyat dengan berkesan.

Dalam sistem demokrasi yang sihat, negara tegasnya memerlukan Ahli Parlimen yang berkaliber dan membawa idea bernas.

BACA LAGI: Belanjawan 2025 bukti kesungguhan kerajaan bina negara berdaya tahan.

“Pembangkang yang `senior’ haruslah membahas isu yang bernas, bukan memainkan perkataan seperti ‘kencing, tipu, sembang’, mempersoalkan sama ada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada gaji atau tidak, sedangkan itu kerja `cyber trooper’.

“Perlu ada persaingan sihat dari segi dasar. Jika boleh, adakan lebih banyak perbahasan yang bernas, bukan setakat di TikTok dan memainkan sentimen perkauman,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button