Semasa

RUU Keselamatan Dalam talian untuk kekang jenayah, bukan sekat kebebasan bersuara

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat bertujuan mengekang aktiviti jenayah di media sosial dan bukannya menyekat kebebasan bersuara.

Katanya, RUU itu bertujuan memastikan pengendali platform media sosial lebih proaktif mengekang aktiviti jenayah di platform masing-masing selain penting dalam memastikan penggunaannya lebih selamat terutama kepada kanak-kanak dan keluarga.

“Niat kita paling utama dalam pengenalan RUU itu bukan untuk mengekang suara rakyat, tetapi mengekang tindak tanduk penjenayah yang sedang memanipulasi dan mengambil kesempatan terutama di media sosial untuk melakukan jenayah,“ katanya.

Beliau sebelumnya hadir ke Program Siri Syarahan Menteri Bertajuk “Literasi Keselamatan Digital” dianjurkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada Rabu.

Fahmi sementara itu menegaskan hak bersuara terkandung dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara.

Justeru tegasnya, maka mana-mana undang-undang terkait dengan isu kebebasan bersuara tidak boleh melangkaui Perlembagaan ini.

BACA LAGI: Fahmi sifatkan penyedia media sosial lemah dalam usaha kekang jenayah

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan komitmen kerajaan yang memandang serius empat aktiviti jenayah seperti scam atau penipuan, judi dalam talian, buli siber dan bahan-bahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang menjadikan laman media sosial sebagai platform menjalankan aktiviti terlarang itu.

“Untuk tahun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memaklumkan rakyat Malaysia kehilangan RM432 juta akibat penipuan dalam Facebook sahaja…ia merupakan platform paling besar dan paling disalah gunakan oleh penjenayah untuk aktiviti penipuan,” tambah Fahmi.

Related Articles

Back to top button