Persiapan bencana: Selangor serah tiga khemah khas operasi menyelamat
Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh langkah siap siaga musim tengkujuh dan bencana lain.
Susulan itu pihaknya menyerahkan tiga khemah khas bernilai RM300,000 kepada ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bagi meningkatkan kecekapan operasi menyelamat ketika bencana.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, khemah pos kawalan tempat kejadian (PKTK) itu memiliki ruang sesuai untuk berbincang, berehat dan rawatan sekali gus meningkatkan kecekapan operasi menyelamat.
“Khemah PKTK akan berfungsi sebagai pusat koordinasi yang efisien dalam operasi mencari dan menyelamat serta membantu menyelaras logistik dan komunikasi di kawasan bencana.
“Ia sesuai diguna dalam menghadapi bencana tahap satu, dua dan tiga selaras arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Langkah negeri ini dapat memastikan agensi keselamatan memiliki peralatan dan keperluan asas,” katanya pada sidang media.
Terdahulu beliau menyerahkan khemah itu kepada Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan dalam majlis berlangsung di perkarangan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
BACA LAGI: Selangor cari kaedah lebih mampan urus sisa pepejal
Sementara itu menurut Amirudin, khemah itu diletakkan bawah tanggungjawab IPK namun ia untuk kegunaan semua agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertanan Awam, bomba, tentera dan pihak lain
Difahamkan, khemah tersebut dilengkapi kemudahan internet bagi memudahkan operasi. Selain itu ia mudah dipasang dalam hanya tempoh 30 minit bagi mempercepat operasi.