Pengerusi Masjid buat laporan terhadap fitnah penyokong PN
Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Taman Pinggiran Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, menafikan tuduhan di media sosial bahawa pihak masjid tidak membenarkan beberapa anak muda yang terlibat dalam aktiviti politik Perikatan Nasional (PN) menunaikan solat isyak baru-baru ini.
Pengerusinya, Nordin Supardi menerusi satu video tular yang dimuat naik pada Rabu menyifatkan tuduhan itu ibarat satu fitnah politik terhadap pihak pengurusan masjid.
“Pada hari berkenaan, beberapa anak muda dan pemimpin parti politik hendak bersolat dalam masjid.
“Salah seorang daripada mereka memakai vest parti politik PN. Saya maklumkan kepada mereka, dalam masjid tak boleh berpolitik.
“Kalau tuan-tuan berpolitik dalam masjid, saya akan halau terang-terang,”kataya.
Nordin menegaskan beliau tidak mengeluarkan kenyataan yang menghalang mereka solat.
“Bersolat itu adalah wajib untuk semua orang Islam,” tambahnya.
Portal Majoriti sebelum ini melaporkan beberapa individu mendakwa pihak masjid berkenaan tidak membenarkan mereka menunaikan solat isyak apabila didakwa dihalau keluar oleh pihak pengurusan masjid tersebut.
Perkara tersebut tular menerusi satu video di TikTok yang memperdengarkan suara dipercayai milik pihak pengurusan masjid memaklumkan sesiapa yang memakai pakaian yang mempunyai logo daripada mana-mana parti politik akan dihalau daripada kawasan berkenaan.
“Atas kesempatan ini. Saya ingin memberitahu, ini satu fitnah yang dilakukan oleh mereka.
“Saya juga dah buat satu laporan polis di Balai Polis Senawang pada 17 Julai lalu,” kata Nordin.