Semasa

MOSTI perkasa kemahiran STI melalui program ‘AI 4 Belia’

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) buat julung kalinya menganjurkan program ‘AI 4 Belia’ bertujuan memperkasakan golongan berkenaan dengan kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menterinya Chang Lih Kang berkata, program itu menggalakkan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan belia sekaligus mempersiap mereka menghadapi cabaran pasaran pekerjaan masa hadapan.

“Belia merupakan pelapis dalam membangunkan Malaysia pada masa akan datang, yang juga perintis kepada pekerjaan masa hadapan dalam bidang seperti kejuruteraan kecerdasan buatan, robotik, anggota keselamatan maya, teknologi rantaian blok dan sebagainya.

“Penggunaan AI dilihat dapat membantu belia yang berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan inovasi atau teknousahawan kerana AI membantu belia yang terlibat dalam perniagaan untuk menganalisis data, merancang pemasaran produk dan mengoptimumkan operasi dengan sumber sedia ada.

“Penyertaan aktif belia dalam inisiatif sebegini (AI 4 Belia) langkah penting dalam mempersiapkan diri mereka menghadapi cabaran masa hadapan terutama dalam sektor pekerjaan berteknologi tinggi,” katanya melalui ucapan perasmian program ‘AI 4 Belia’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Sabtu.

BACA LAGI: Adaptasi teknologi AI tidak jejas pekerja Pos Malaysia

Pada majlis itu turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara UPSI dengan Syarikat pengeditan imej dalam talian Pixlr.

Pertukaran MOU itu diwakili Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Profesor Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim, manakala Pixlr diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Warren Leow.

Related Articles

Back to top button