Pam air tambahan di Kelantan beroperasi sepenuhnya tahun depan
Pembinaan 20 unit pam air tambahan bagi kegunaan pertanian di Kelantan dijangka siap dan mula beroperasi pada Ogos 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perolehan peruntukan projek tersebut sudah bermula melibatkan pembinaan tapak pam.
Justeru beliau meletak harapan agar dengan beroperasinya pam tersebut akan dapat mengatasi masalah dihadapi pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
“Sebelum ini Rumah Pam Kemubu mengalami masalah untuk menyedut air apabila paras air rendah akibat berlaku kemarau.
“Kita harap projek ini berjalan dengan lancar mengikut jadual untuk memastikan proses penanaman padi tidak terjejas pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu Mohamad Sabu hadir ke majlis penyampaian watikah kepada 48 Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak 2024 di Tok Bali, Pasir Puteh pada Ahad.
BACA LAGI: Sebanyak 83 projek sudah diluluskan KPKM sehingga September lalu
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu mengarahkan pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan.
Langkah itu berikutan masalah paip disediakan KADA di sungai Kelantan tidak mampu menyedut air akibat kemarau berpanjangan.