Raikan Deepavali dengan semangat perpaduan, pemikiran murni – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia meraikan perayaan Deepavali dengan semangat kebangkitan pemikiran yang segar dan murni, demi mengangkat darjat harakat rakyat keseluruhannya.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Deepavali jelasnya melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan, serta kekuatan ilmu mengalahkan kejahilan dan keangkuhan.
Justeru perayaan itu perlu diambil kesempatan untuk menyemarak perpaduan antara kaum dan mencari titik temu, selain meningkatkan ihsan kepada yang hidup melarat dan dalam kesusahan
“Kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budaya mesti menghidupkan sikap hormat dan persefahaman antara masyarakat,” katanya.
Masyarakat beragama Hindu menyambut Deepavali yang juga dikenali sebagai festival cahaya hari ini.
Sementara itu Perdana Menteri melalui video pendek mewakili seluruh jentera kerajaan dan rakyat, beliau mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua penganut Hindu.
“Mudah-mudahan kita sambut dengan meriah dalam kalangan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama, sama-sama sambut kemeriahan dan kegembiraan. Terima kasih, nandri,” katanya.