Semasa

KPKT jenamakan semula kediaman PPR, tingkat kemudahan untuk penduduk

Kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dijenamakan semula kepada Program Residensi Rakyat (PRR) bermula tahun hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, penjenamaan semula itu bagi menjadikan perumahan rakyat setanding kemudahan disediakan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura, Jepun dan Korea Selatan Dan telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 September lalu.

“Penjenamaan semula PRR juga diharap mampu mengurangkan stigma dan persepsi negatif masyarakat ke atas komuniti PPR sedia ada serta meningkatkan imej program perumahan KPKT.

“Ini adalah aspirasi dan penekanan kerajaan ke atas konsep kediaman bersifat bersepadu, kondusif, berdaya huni dengan kualiti komersial, dilengkapi dengan pusat aktiviti masyarakat, zon hijau dan sebagainya supaya penduduk PRR dapat meningkatkan rasa kekitaan ke atas perumahan sosial ini,” katanya  pada Majlis Penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang bagi PRR Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang pada Rabu.

Beliau sementara itu berkata, lokasi pembinaan PRR juga akan dikenal pasti di kawasan bandar dan pinggir bandar atau luar bandar dengan menitikberatkan aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, mampan, berdaya huni, dan pergerakan dengan kemudahan awam.

BACA LAGI: KPKT komited pastikan projek perumahan awam berprestasi unggul

“Malah terdapat 32 penambaikan turut dilakukan antaranya reka bentuk unit rumah, pemasangan sistem panel solar dan ruang rekreasi luar yang lebih mesra pengguna.

“Selain itu, reka bentuk rumah yang mengoptimumkan pengudaraan yang baik termasuk untuk orang kurang upaya (OKU) serta akses kemudahan masuk yang lebih teratur,” ujarnya.

Kor Ming sementara itu memaklumkan, keluasan lantai kasar minimum PRR ditetapkan adalah 750 kaki persegi dengan harga jualan baharu RM60,000 seunit bermula 2026/2027 selepas projek baharu siap.

Related Articles

Back to top button