DOSM julung kali terbitkan laporan Indikator Kos Sara Hidup
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) buat julung kalinya menerbitkan laporan Indikator Kos Sara Hidup (KSH) 2023 pada Sabtu.
Laporan itu merangkumi Indeks Kos Sara Hidup dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) telah dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Majlis Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 DOSM di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melalui satu kenyataan berkata, pembangunan PAKW mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.
“Ia ditentukan dua faktor utama iaitu lokasi dan ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah untuk memberi nilaian kos kehidupan wajar ,” katanya.
Mengulas lanjut Mohd Uzir berkata, PAKW dibangunkan atas prinsip keperluan melebihi minimum dengan mengambil kira tiga aspek kehidupan wajar iaitu keperluan, kehendak dan penyertaan sosial berdasarkan corak pendapatan atau perbelanjaan isi rumah.
“Ia turut mengambil kira kos makan di luar dan konsep minimum pelbagai untuk pilihan perbelanjaan makanan.
“Dari segi komponen makanan, PAKW mengambil kira keperluan diet asas yang memenuhi keperluan pemakanan seimbang mengikut Piawaian Pengambilan Nutrien yang Disyorkan (RNI), Kementerian Kesihatan (KKM),” jelasnya.
Sementara itu beliau memaklumkan, pihaknya juga telah membangunkan kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW untuk menganggar jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan maklumat diberi.
BACA LAGI: Tangani kos sara hidup tetap jadi keutamaan kerajaan
MyPAKW boleh dimuat turun di aplikasi Play Store atau App Store dan boleh juga diakses melalui laman sesawang mypakw.dosm.gov.my .
“Kalkulator membolehkan pengguna menyemak kos sara hidup bulanan di setiap daerah mengikut saiz isi rumah,” katanya.