Negeri

Selangor akan usaha tangani isu pemilikan unit kediaman strata bermasalah

Kerajaan Negeri Selangor akan mengetengahkan beberapa inisiatif dalam Belanjawan Selangor 2025 bagi menyelesai isu pemilikan 138,000 unit rumah strata di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu tersebut sudah membelenggu pemilik sejak 20 hingga 30 tahun sehingga telah memberi kesan kepada nilai aset dan hartanah.

“Ini berpunca apabila kebenaran merancang dikeluarkan sebelum isu tanah dilunaskan. Hal ini menyebabkan ada pemaju culas dan cuai tak nak bayar. Akhirnya jatuh kepada penduduk semula. Kalau ikutkan setiap penduduk kena bayar.

“Jadi kita rungkaikan tapi Kerajaan Negeri tak boleh bayar semua, sekolah-olah kita tanggung masalah lepas.

“Kita dah cari formula sama beri insentif kepada pemilik atau pemaju yang boleh pulihkan isu ini,” katanya di Program Rewang Strata Majlis Perbandaran Kajang pada Sabtu.

Pada Julai, Amirudin mengarahkan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti masalah berkenaan termasuk kos diperlukan serta menyasarkan 50 peratus pemilikan dapat diselesaikan secara berperingkat mulai tahun depan.

BACA LAGI: Kerajaan Selangor imbang pembangunan dengan kebajikan melalui Belanjawan

“Disebabkan hak milikan ini tak dapat, pemilik jadi tergantung, tak ada geran. Mereka nak jual pun tidak boleh. Jadi kita akan bantu selesaikan kerana ia melibatkan pelbagai isu termasuk premium tanah dan yuran guaman,” katanya.

Sementara itu Amirudin menyeru persatuan pendudukan mengambil peluang dari inisiatif Sejati Madani diumumkan Perdana Menteri melalui Belanjawan lalu yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.

“Sini ada kawasan lapang yang sesuai untuk usahakan pertanian bandar. Boleh juga bangunkan industri kecil sederhana yang boleh jana pendapatan,”tambahnya.

Related Articles

Back to top button