Kebajikan pekerja ditingkatkan, KESUMA komited pastikan keselamatan tempat kerja
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited meningkatkan kebajikan golongan pekerja termasuk memastikan keselamatan di tempat kerja.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, kementeriannya menggerakkan lapan undang-undang perburuhan berkaitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan menguatkuasakan sepenuhnya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pada 1 Jun.
“Saya nak setiap pekerja boleh pergi kerja pada pagi hari, pergi bekerja dalam keadaan terhormat, di tempat kerja yang bagus, sihat kemudian dapat gaji, faedah, manfaat bermaruah.
“Lepas setiap hari waktu kerja, boleh pulang ke rumah dengan selamat dan bersama dengan orang tersayang.
“Kita lakukan dalam tempoh 10 bulan ini untuk membolehkan pekerja kita mendapat penghargaan dan pengiktirafan lebih tinggi,” katanya.
Beliau sebelumnya melancarkan Program Veteran MyWIRA dan Program Pembangunan Bakat peringkat negeri Perlis di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar pada Ahad.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, pihaknya akan membentangkan rang undang-undang berkaitan akta pekerja gig yang baharu pada Disember ini.
BACA LAGI: KESUMA selesai kaji selidik, akan terbit laporan impak AI dalam sektor strategik
Langkah itu bagi memastikan golongan seperti pemandu e-panggilan atau p-panggilan mendapat pembelaan sewajarnya di bawah akta kerja.
“Jadi itulah apa yang kita laksanakan dalam masa lapan hingga 10 bulan lepas. Semuanya untuk mewujudkan atau memberikan martabat, karamah insaniah kepada warga pekerja kita,” tambahnya.