KRPPM – IGAR gesa reforasi institusi dilaksana melalui pelan tindakan khusus
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) menggesa satu pelan tindakan khusus dan strategi yang jelas dalam melaksana reformasi institusi
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya merasa bimbang terhadap status kemajuan pelaksanaan reformasi termasuk empat cadangan penambahbaikan sistem perundangan dituntut mereka sebelum ini.
Untuk merealisasikan sekurang-kurangnya fasa pertama reformasi terlibat, kumpulan itu mencadangkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) diberi peluang memberi penerangan berkenaan perkembangan status reformasi perundangan berkaitan integriti, governans dan anti rasuah.
“Kami turut mengalu-alukan sokongan Menteri atau Timbalan Menteri untuk terlibat sama dalam pembentangan akan datang dan rakan-rakan KRPPM IGAR akan terus bersedia untuk memberikan komitmen dengan input kajian, pandangan serta maklum balas konstruktif,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.
Empat reformasi institusi dituntut kumpulan itu melibatkan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya; pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2009; Reformasi Parlimen melalui Akta Perkhidmatan Parlimen dan Penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
BACA LAGI: RUU berkaitan kewarganegaraan bukti kesungguhan kerajaan lakukan reformasi
Syed Ibrahim sementara itu berkata, KRPPM turut mencadangkan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dijadikan agenda utama dalam penggubalan undang-undang bagi memperkukuh transformasi menyeluruh terhadap akta-akta lain berkaitan integriti, tadbir urus dan anti-rasuah.
Akta tersebut tgeasnya penting untuk membina budaya akauntabiliti, memperkasa rakyat dan memastikan penglibatan berinformasi dalam proses demokrasi negara.