PM Anwar gesa Israel disingkir dari PBB
Masyarakat antarabangsa diseru untuk terus menyokong peranan penting Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Asia Barat.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan berkata, seruan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi.
“Beliau (Anwar) menegaskan komitmen Malaysia terhadap UNRWA dan peranan pentingnya dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kritikal bagi meringankan penderitaan pelarian Palestin,” menurut kenyataan itu.
Pada sidang kemuncak diadakan yang membincangkan langkah-langkah menamatkan genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin. Anwar mengulangi komitmen Malaysia untuk menamatkan pencerobohan Israel yang berterusan, menyokong perjuangan Palestin dan menyokong resolusi yang dikeluarkan oleh Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam.
Beliau turut mengecam keputusan Parlimen Israel untuk mengisytiharkan organisasi bantuan utama UNRWA untuk rakyat Palestin itu sebagai pertubuhan pengganas.
“Malaysia juga menegaskan komitmennya terhadap pembinaan semula Gaza, dengan menekankan keperluan kritikal untuk tindak balas antarabangsa segera dan diselaraskan bagi mencapai matlamat ini, yang akan memudahkan kepulangan rakyat Palestin ke tanah air mereka,” menurut kenyataan itu.
Anwar menghadiri persidangan itu atas jemputan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud. Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan pegawai kanan kerajaan.
BACA LAGI: Parlimen Belia Wilayah Persekutuan sokong resolusi lucut keanggotaan Israel dari PBB
Wisma Putra melalui kenyataan sama turut memaklumkan, Anwar telah mengeluarkan kecaman keras ke atas Israel susulan serangan terhadap konvoi misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Tindakan rejim Israel itu tegasnya jelas melanggar Piagam PBB dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Justeru beliau menyeru penggantungan atau pengusiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Perdana menteri menyeru masyarakat antarabangsa melaksanakan inisiatif termasuk pengenalan sekatan senjata segera bagi menghentikan genosid Israel terhadap rakyat Palestin.
“Tindakan tegas amat diperlukan untuk menghentikan kezaliman dan keganasan yang tidak terkawal oleh Israel, yang turut mengancam kestabilan rantau ini berikutan serangan rejim berkenaan di Lubnan, Iraq, Iran, Yaman dan Syria,” tambah kenyataan itu