Semasa

NRES bentang RUU Perubahan Iklim Negara suku pertama tahun depan

Kerajaan serius menangani isu perubahan iklim dan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jun lepas, bersetuju mengesahkan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Susulan itu, Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Untuk Malaysia berkembang maju dan mengekalkan daya tahan iklim, tadbir urus memainkan peranan penting dan kami kini sedang mengusahakan rang undang-undang perubahan iklim,” katanya.

Nik Nazmi berkata begitu melalui ucap pada pelancaran IOI Sustain Roadmap 2030 (ISR 2030), di Putrajaya pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, kementeriannya kini sedang menjalankan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta menghasilkan kertas konsultasi awam bagi mendapatkan maklum balas masyarakat sehingga 18 Nov ini.

“Anda sebenarnya boleh pergi ke laman web kami dan melihat draf rang undang-undang itu, bagi mendapatkan pandangan daripada orang awam. Kami berharap dapat memperkenalkannya kepada sidang Parlimen menjelang suku pertama tahun depan,“ jelasnya.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata RUU mengenai perubahan iklim itu bertujuan meningkatkan kelestarian alam sekitar sambil mewujudkan peluang baharu untuk sektor perniagaan iaitu membolehkan perniagaan mengakses pasaran yang memberi penekanan pada kelestarian.

BACA LAGI: Malaysia mahu jadi pemimpin serantau isu perubahan iklim

Sementara itu tambahnya, NRES telah mengemukakan rancangan melibatkan bajet pembangunan RM140 juta kepada Kementerian Ekonomi, untuk membina bangunan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) yang juga menempatkan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi.

“Supaya kita boleh memiliki sebuah pusat biodiversiti yang canggih, iaitu selaras dengan apa yang boleh kita pamerkan kepada dunia, dengan koleksi yang kita ada,“ katanya sambil menegaskan rancangan kerajaan untuk mengadakan kerjasama swasta-awam berhubung pembinaan bangunan MBC.

Related Articles

Back to top button