PM Anwar paling lantang bela Palestin – Dr Menteri Agama
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa membidas tindakan pihak yang menyunting wawancara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama wartawan CNN tempoh hari, yang kononnya mengesahkan pendirian membenarkan “hak Israel untuk mempertahankan diri”.
Dr Mujahid melalui satu kenyataan berkata, Anwar dikenali antara pemimpin dunia yang paling lantang membela nasib Palestin.
Fakta pula membuktikan bahawa Malaysia tegas serta konsisten dalam mempertahankan hak Palestin termasuk mengutuk perbuatan genosid atau pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan secara berterusan di Gaza.
“Pendirian Anwar sebelum ini dalam forum antarabangsa, terutama cadangan beliau agar Israel disingkir daripada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu sudah cukup untuk menyatakan pendirian tegas membela rakyat Palestin.
“Saya menggesa seluruh pihak bersama negara dan Perdana Menteri meneruskan sokongan menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB dan terus membela hak Palestin untuk negara secara berdaulat.
“Janganlah retorik politik sempit kita membutakan hakikat dan tidak dapat membezakan antara laras bahasa di platform antarabangsa dan sikap kita yang jelas terhadap jenayah perang Israel” katanya.
Wawancara Perdana Menteri mengenai konflik Israel-Palestin bersama Richard Quest daripada CNN disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel, yang berniat mengelirukan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata video tular tersebut tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri, iaitu Malaysia akan terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.
Sementara itu Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara berkata, sebagai Perdana Menteri, kenyataan Anwar akan dijadikan pendirian rasmi di peringkat antarabangsa.
“Oleh itu, Perdana Menteri sangat berhati-hati menyusun laras bahasa diplomasi ketika ditanya pendiriannya berhubung kedudukan Israel. Hakikatnya, Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel dan tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
BACA LAGI: Malaysia akan terus jadi pembela kepada Palestin
“Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri menggunakan pihak antarabangsa mengutuk dan berusaha menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB atas dasar kemanusiaan di samping sentimen kemarahan terhadap Israel dikongsi banyak negara lain.
“Menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB adalah usaha Malaysia kepada masyarakat antarabangsa bagi mendedahkan jenayah genosid Israel, namun soal kewujudan negara Israel dalam bahasa diplomasi antarabangsa adalah hak bernegara masing-masing,” tambahnya.