Sumber geotapak dan geopark rangsang pertumbuhan ekonomi pelancongan – Nik Nazmi
Kerajaan Persekutuan menyasarkan setiap negeri untuk memiliki dan mempunyai sekurang-kurangnya satu geopark di peringkat kebangsaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sumber geotapak dan geopark di Malaysia dapat merangsang pertumbuhan ekonomi sektor pelancongan negara.
‘’Sebanyak 10 Geopark Kebangsaan termasuk Gombak-Hulu Langat Geopark yang telah diperakukan sehingga kini iaitu Jerai di Kedah, Kinta dan Lenggong di Perak, Labuan, Sarawak Delta di Sarawak, Stong di Kelantan, Kenyir di Terengganu, Perlis dan Lipis di Pahang.
‘’Manakala dua geopark yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGp) adalah Langkawi dan Kinabalu,’’ katanya dalam ucapannya sempena Majlis Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark (GHL) sebagai Geopark pertama Negeri Selangor.
Simbolik pengisytiharan geopark berkeluasan 112,955 hektar merentasi daerah Gombak dan Hulu Langat itu disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu.
Sementara itu Nik Nazmi berkata dengan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan ketujuh ini, GHL Geopark diharapkan mampu melangkah ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) dan kukuh menjadi hab geopelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.
Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) jelasnya akan terus komited membantu Kerajaan Negeri dari sudut teknikal termasuk kajian saintifik tentang sumber geotapak dan program kesedaran bersama masyarakat.
BACA LAGI: Bukit Dinding dalam proses diwartakan sebagai hutan simpanan kekal (HSK)
GHL adalah satu-satunya geopark yang berada dalam kawasan bandar, ia menampilkan 31 geotapak dengan 20 daripadanya telah diiktiraf sebagai kawasan pelancongan eko dan geo, dengan landskap semula jadi dan geologi Selangor yang masih kekal terpelihara.
Antara 20 tapak berkenaan ialah Gua Batu Caves, Granit Kuala Lumpur, Permatang Kuartza Gombak, Syis Selut Karak bagi daerah Gombak dan Puncak Granit Gunung Nuang, Kompleks Mata Air Panas Dusun Tua serta Air Terjun Sungai Tekala di Hulu Langat.