Malaysia kecewa UNSC gagal kenakan gencatan senjata di Gaza
Malaysia menyatakan rasa kecewa atas kegagalan sekali lagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima pakai resolusi gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal” di semenanjung Gaza selain memudahcara penyaluran segera perkhidmatan asas serta bantuan kemanusiaan di Gaza.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan berkata, resolusi itu walaupun telah mendapat sokongan majoriti anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dinafikan apabila Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto mereka bagi menghalang usaha untuk menamatkan jenayah genosid di Gaza itu.
Justeru tindakan AS itu dianggap telah mematahkan harapan masyarakat antarabangsa sekali gus menjejaskan usaha-usaha berterusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis ini.
“Malaysia kekal bersolidariti dengan Palestin, dan mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan dalam isu Palestin,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Draf resolusi tersebut dikemukakan sembilan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan itu, Algeria, Ecuador, Guyana, Malta, Mozambique, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia, dan Switzerland dan telah menerima undian majoriti sebanyak 14 undi.
BACA LAGI: PM Anwar gesa Israel disingkir dari PBB
AS sebelum ini telah tiga kali menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata segera di Gaza pada Oktober 2023, Disember 2023, dan Februari, selain berkecuali dalam beberapa undian resolusi lain.
Menerusi kenyataan sama Malaysia menggesa agar Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan yang tegas bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza, dan melaksana peranan utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa selain mempertahankan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Piagam PBB dan melindungi kedaulatan undang-undang antarabangsa.