Global

Malaysia harap sidang Perubahan Iklim PBB muktamadkan beberapa perkara penting

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) yang sedang berlangsung di Baku, Azerbaijan bakal memuktamadkan beberapa perkara.

Dipetik laporan media Nik Nazmi berkata, krisis iklim terus menjadi cabaran global yang semakin serius dengan mencatatkan tahun terpanas sekali gus mencerminkan betapa mendesaknya tindakan kolektif untuk menangani perubahan iklim.

Justeru beliau mengharapkan agar kata putus tentang Matlamat Kuantitatif Kolektif Baharu (NCQG) yang merupakan elemen utama Perjanjian Paris akan dicapai kali ini memandangkan tarikh akhir 2025 semakin hampir,

“Setakat sekarang ada perkembangan positif daripada Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) iaitu Artikel 6 Perjanjian Paris, namun ada isu komitmen kewangan yang masih menjadi pertikaian tentang obligasi negara maju kepada negara membangun.

“Bagi Malaysia, kita berharap dapat mencapai kata putus supaya memberi satu harapan kepada dunia yang sedang memerhati kita dan mahu satu kemajuan kepada rundingan iklim,” katanya pada Khamis.

Perkara 9 dibawah perjanjian itu menegaskan semula bahawa ‘pihak negara maju hendaklah menyediakan sumber kewangan untuk membantu pihak negara membangun’ dan menyediakan AS$100 bilion bagi sumber kewangan menangani bencana iklim sebelum 2025.

Perjanjian dimeterai 169 negara pada 2015 itu sepakat memastikan had pemanasan global di bawah dua darjah Celsius, sebolehnya pada 1.5 darjah Celsius berbanding paras zaman praperindustrian.

BACA LAGI: Malaysia mahu jadi pemimpin serantau isu perubahan iklim

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, negara-negara maju perlu lebih serius dengan komitmen masing-masing untuk membantu negara-negara membangun dalam menangani krisis iklim mendesak.

Tegasnya berlaku ketidakseimbangan keutamaan oleh negara maju apabila membelanjakan trilion dolar untuk konflik dan perang berbanding melaksana pembiayaan iklim.

Related Articles

Back to top button