Semasa

GISBH: program pemulihan dilaksana ambik kira semua aspek

Program pemulihan akidah membabitkan ahli GISB Holding (GISBH) dilaksana secara berterusan dan sistematik mengikut perancangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, pelan pemulihan dirangka dengan mengambil kira semua aspek dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, ia (program pemulihan akidah ahli GISBH) berterusan dan akan dilaksanakan secara sistematik dan teliti oleh semua pihak. Kita akan tambah baik dari semasa ke semasa

“Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ambil peranan itu dengan semua Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.

Zulkifli sebelumnya hadir menyempurnakan perasmian program Dialog Perpaduan Malaysia Madani 2024 di Menara Tabung Haji, di Johor Bahru pada Sabtu.

Untuk rekod, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), pada 14 November lalu telah memutuskan bahawa ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam.

Pengerusinya, Datuk Nooh Gadut berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu, yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.

BACA LAGI: KDN komited selesai isu lambakan PATI melalui penguatkuasaan

Sementara itu ketika ditanya mengenai jumlah bekas ahli GISBH yang sukarela hadir ke program pemulihan akidah dan sudah pulih, beliau berkata, ia perlu dirujuk kepada pihak berkaitan terbabit.

“Apa yang dimaklumkan dalam Parlimen dan dijawab oleh Menteri (Hal Ehwal Agama), itulah yang terkini yang dikongsikan mengenai isu GISBH.

“(Jumlah bekas ahli GISBH pulih) perlu rujuk pihak autoriti, perlu disemak dan teliti,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button