KPKM adakan pertemuan khas, bincang isu kekurangan bekalan kelapa
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengadakan satu pertemuan khas bagi membincangkan isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran.
Menteri KPKM , Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi satu hantaran di laman Facebooknya berkata, kekurangan bekalan kelapa di pasaran telah menjejaskan pengguna serta pemain industri yang bergantung kepada komoditi tersebut.
Tambahnya, situasi itu perlu ditangani segera dan penyelesaian strategik perlu dilaksana bagi memastikan bekalan kelapa mencukupi terutamanya dalam menghadapi permintaan yang meningkat menjelang musim perayaan.
“Saya mahu sinergi antara pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menangani isu ini secara menyeluruh,” tegasnya pada Rabu.
Pertemuan yang diadakan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur itu disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Shamsul Akbar Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi.
Media sebelum ini melaporkan berlaku kenaikan harga santan segar hingga mencecah RM16 sekilogram (kg) berbanding RM12 sekilogram sebelum ini.
Peniaga memberi alasan kenaikan itu berpunca dari peningkatan harga kelapa mencecah sehingga RM3 sebiji dari pembekal susulan kesukaran mendapatkan bekalan kelapa di pasaran.
Sementara itu Mohamad Sabu berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah tersebut yang jelas akan menjejaskan rakyat.
“Insya-ALLAH, kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan rakyat tidak terjejas akibat kekurangan bekalan kelapa di pasaran,” ujarnya.
BACA LAGI: Analisis impak peraturan penubuhan LPKNDM dilaksana – Menteri KPKT
Sebagai rekod, kerajaan ketika ini sedang melaksana usaha baharu dalam meningkatkan penghasilan kelapa termasuk melalui pelancaran empat jenis kelapa hibrid pada tahun lalu.
Melalui usaha itu, penghasilan kelapa tempatan ditingkatkan dari 23,000 hingga 40,000 setahun sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan yang diimport dari negara jiran.