Setelit PSPJN dibangunkan tempatan dijangka beroperasi seawal 2008
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjangkakan setelit dibangunkan menerusi Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) dijangka beroperasi seawal 2028
Menterinya, Chang Lih Kang di Dewan Rakyat pada Rabu memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri pada 2019 lalu telah meluluskan program PSPJN yang akan dilaksanakan melalui kaedah kerjasama awam–swasta.
Pada tahun lalu pula Kerajaan Perpaduan telah bersetuju meluluskan cadangan Hala Tuju Program PSPJN dengan beberapa penambahbaikan.
“Ini bagi memastikan tahap kejayaan program yang lebih tinggi dan berupaya memberi impak lebih meluas kepada pertumbuhan ekonomi dan keupayaan negara sebagai peneraju teknologi angkasa pada peringkat serantau,” katanya.
Beliau sebelumnya menjawab soalan seorang Ahli Parlimen berhubung pelaksanaan program dibawah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) itu sama ada akan menggunakan model kerjasama awam–swasta tanpa peruntukan khas dalam belanjawan negara.
MOSTI menerusi satu kenyataan pada Januari lalu berkata, JSPJN adalah kesinambungan usaha bagi memperkukuh industri angkasa negara selaras Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030).
BACA LAGI: MOSTI perlu lebih peruntukan untuk R&D, latihan pakar teknologi nuklear
Tujuan PSPJN adalah untuk memperkasa pemilikan data-data strategik negara melalui pengendalian sendiri satelit negara sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada sumber data dan teknologi satelit luar sekaligus memastikan kedaulatan dan keselamatan negara diperkukuhkan melalui sektor teknologi angkasa.
Selain itu program itu dapat memperkasa kepakaran tempatan serta merangsang pertumbuhan industri angkasa sebagai sumber ekonomi baharu negara.