Semasa

Papan tanda tak ikut peraturan: Menteri Wilayah pertahan tindakan DBKL gempur premis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mempertahankan tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap premis memasang papan tanda tidak menepati Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Tegasnya, tindakan diambil bukan atas desakan mana-mana pihak atau individu tetapi atas dasar memastikan peraturan yang berkuat kuasa dipatuhi.

Justeru tegasnya, polemik mengenai isu penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa perlu dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu mematuhi undang-undang yang menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan diutamakan.

“Huruf dan perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada huruf-huruf atau tulisan perkataan dalam bahasa lain.

“Kesemua papan tanda tersebut juga perlu mendapatkan pengesahan visual dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu sebagai dokumen wajib untuk memohon kelulusan DBKL,” katanya dalam kenyataan.

Dr Zaliha sementara itu menegaskan, undang-undang dan peraturan yang dikuat kuasa adalah untuk memastikan keadilan serta keharmonian dalam masyarakat terjamin.

Minggu lalu, media melaporkan Menteri Pelancongan Tiong King Sing mendakwa penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL mencetuskan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif di kalangan pelancong.

BACA LAGI: DBKL kuat kuasa syarat baharu permohonan kebenaran merancang di Kuala Lumpur

Ia susulan operasi DBKL menyasarkan papan tanda tidak memaparkan bahasa Melayu, di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang.

Sementara itu Dr Zaliha berkata,beliau mengetahui tindakan dilaksana DBKL itu dan ia konsisten dengan pendekatan yang telah diambil sejak isu Jalan Silang sebagai ‘Mini Dhaka’ berbangkit lagi.

Malah tegasnya, penguatkuasaan rutin DBKL ini sepatutnya telah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Related Articles

Back to top button