Politik

KEADILAN tangguh Kongres Nasional, kerah anggota bantu mangsa banjir

Kongres Nasional KEADILAN 2024 yang dijadualkan pada Disember ini ditangguhkan ekoran bencana banjir melanda beberapa negeri ketika ini.

Ketua Penerangan parti itu Fahmi Fadzil berkata, Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN membuat keputusan itu menerusi mesyuarat diadakan pada Sabtu.

“Menyedari isu banjir dijangka berterusan, pimpinan telah memutuskan bahawa Kongres Nasional KEADILAN 2024 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumum kemudian.

“Pada masa sama, satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan diadakan secara hibrid pada tarikh yang akan diumum oleh Setiausaha Agung KEADILAN nanti,” katanya dalam kenyataan.

Kongres itu sepatutnya berlangsung pada 15 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor manakala Kongres Angkatan Muda Keadilan(AMK) dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu di lokasi berbeza.

Banjir kali ini menyaksikan jumlah mangsa paling ramai dipindahkan dengan Kelantan, Terengganu dan Kedah berhadapan bencana besar.

Sementara negeri lain antaranya Perak, Selangor, Johor, dan Negeri Sembilan juga terkesan banjir dan akan menyukarkan pimpinan peringkat akar umbi atau cabang untuk menghadiri kongres.

Sementara itu Fahmi dalam kenyataanya turut berkata, bencana yang melanda negara mendapat perhatian khusus pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN dan pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada lebih 131,000 mangsa banjir yang melanda sembilan negeri setakat ini.

BACA LAGI: Calon SPM terjejas banjir boleh ambil peperiksaan di mana-mana pusat alternatif

Sehubungan itu pimpinan KEADILAN telah membincangkan bantuan yang akan diberikan oleh parti serta sukarelawan sewaktu dan pasca banjir.

“Pimpinan bersetuju agar anggota cabang KEADILAN dikerah segera membantu mangsa banjir termasuk untuk pembersihan pascabanjir kelak,” katanya.

Related Articles

Back to top button