Semasa

PM Anwar umum RM1 Juta tubuh sekretariat p-hailing di Selangor

Perdana Menteri mengumumkan peruntukan awal RM1 juta untuk mewujudkan sekretariat menyelaras pengurusan dan mengawal selia perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing).

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi dialog Temu Anwar Selangor X Belia P-Hailing di Petaling Jaya, hari ini berkata ia bertujuan untuk menghimpun penghantar makanan secara sistematik.

Melalui sekretariat itu juga jelasnya, penyelarasan p-hailing akan dibuat secara berterusan, termasuk menyelesaikan pelbagai isu berbangkit dihadapi pekerja penghantar makanan.

“Bagi menyelaras kegiatan penghantar makanan, saya dahulukan RM1 juta hari ini.

“Ini bagi membantu anak-anak dalam sektor gig ini yang kebanyakannya di Lembah Klang,” katanya.

Mengulas lanjut, Presiden Parti KEADILAN itu berkata, beliau berpandangan usaha untuk membantu ‘gig rider’ tidak boleh dilakukan secara one-off.

Ia memerlukan satu sekretariat yang membuat penyelarasan berhubung isu dan masalah dihadapi golongan itu untuk dibangkitkan kepada pihak berkenaan.

“Ini penting. Jika tak, ia akan jadi tak teratur termasuk untuk menyelesaikan pelbagai isu membabitkan penghantar makanan seperti isu membuat pinjaman bank, insurans dan masalah dengan PERKESO,” katanya.

Anwar turut meminta kelompok penghantar makanan di Selangor memilih seorang jurucakap yang akan menguruskan sekretariat itu.

Related Articles

Back to top button