Selangor akan gerakkan sukarelawan bantu pembersihan pasca banjir
Kerajaan Selangor akan menggerakkan sukarelawan untuk membantu pada pascabanjir bagi negeri yang terkesan musibah itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang berhubung dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mengatur pergerakan bantuan dan sukarelawan.
“Saya sudah mengadakan perbincangan awal untuk membantu proses pembersihan nanti selepas musim banjir… kita akan buat bersama terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kita lihat kesannya amat buruk,” kata Amirudin.
Beliau sebelumnya merasmikan penutupan Selangor Education Summit 2024 di Pusat Konvensyen Setia Alam pada Ahad.
Amirudin sementara itu berkata, tenaga dan jentera kerajaan negeri kini sedang ditumpukan bagi kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi musim banjir susulan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac tahun depan.
BACA LAGI: Seluruh agensi di Selangor siap siaga bantu penduduk
“Kita sekarang pantau keadaan (perkembangan bencana), yang penting bagi kita operasi tertentu ketika banjir dapat dijalankan terutama usaha menyelamat dan mengawal keselamatan,” tambahnya.
Mengenai bantuan banjir di Selangor, beliau berkata, mangsa yang terkesan dalam kejadian di Meru, Klang sudah dikenal pasti dan bantuan kewangan RM500 daripada kerajaan negeri akan diberikan dalam masa terdekat.