Semasa

Jangan polimikkan isu banjir, Fadhlina buat keputusan terbaik – NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyokong keputusan Menteri Pendidikan untuk meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon menerusi satu kenyataan menegaskan, sebarang pindaan atau perubahan tarikh peperiksaan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Justeru beliau berharap rakyat tidak mempolemikkan isu banjir agar suasana akan lebih harmoni dan mereka yang terlibat dengan banjir tidak terbeban dan emosi.

“Proses peperiksaan bermula dengan membina soalan hingga ke tarikh pengumuman keputusan dilakukan dengan berhati-hati. Dalam pada itu, tarikh peperiksaan juga telah diselaraskan dengan pihak pengajian lanjutan selepas peperiksaan SPM.

“Selain itu, jumlah kertas peperiksaan yang terlalu banyak juga perlu diambilkira. Jika isu banjir, peperiksaan SPM perlu ditunda maka perlu dilihat juga tempoh berapa lama perlu diambil untuk penjadualan semula.

“Justeru itu, tidak boleh sesuka hati membuat sebarang pindaan atau perubahan tambahan pelbagai pihak terlibat dalam menyusun dan mengatur Peperiksaan SPM ini,” katanya.

Isu banjir yang melanda beberapa negeri diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab dengan mempersoal keputusan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya ujian lisan itu diteruskan.

Fadhlina dalam satu kenyataan menegaskan, Kerajaan Madani telah melakukan sedaya upaya dengan mekanisme yang ada untuk mengurangkan impak banjir terhadap 1.3% calon (5,377 orang) SPM di kawasan terjejas agar mereka dapat menduduki peperiksaan SPM bersama 98.7% (402,956 orang) calon SPM di seluruh Malaysia dengan memindahkan mereka ke penempatan selamat dan diberikan kemudahan terbaik termasuk buku, akses internet dan komputer.

Proses itu dilaksana menerusi Op Payung dengan kerjasama pelbagai agensi persekutuan.

Sementara itu menurut Fouzi, NUTP menghargai segala usaha dan perancangan awal yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi memastikan SPM berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan.

BACA LAGI: Pemimpin veteran bidas MB Terengganu susulan ‘hilang’ ketika tinjauan banjir TPM

Kementerian Pendidikan (KPM) jelasnya telah menunjukan sikap cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon dan petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir semasa peperiksaan berlangsung.

“KPM sentiasa siap siaga dan mengambil langkah persediaan yang sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan dengan mengambil langkah-langkah yang terbaik bagi memastikan Peperiksaan SPM berlangsung dengan lancar dan teratur,” katanya.

Related Articles

Back to top button