Taman awam di semua PBT Selangor dinaik taraf tahun depan
Kerajaan Negeri Selangor terus menggandakan usaha bagi mewujudukan persekitaran kehidupan selesa untuk rakyat di negeri itu.
EXCO kerajaan tempatan Datuk Ng Suee Lim berkata, mulai tahun hadapan Kerajaan Negeri akan membangunkan taman awam di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai Taman Rakyat Madani.
“Pencarian lokasi pembangunan bermula Januari depan dengan memastikan seluruh PBT mempunyai taman rekreasi ini,” katanya.
Sementara itu jelasnya, Taman Rakyat Madani yang akan ditanggung kos pembinaannya antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan seperti wi-fi percuma, ruang senamrobik, taici, pusat kitar semula, sudut perbincangan dan tempat untuk pemuzik jalanan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan harapannya untuk melihat persekitaran projek perumahan rakyat lebih manusiawi, termasuk menaik taraf 48 Taman Rakyat Madani di bandar dan pekan kecil.
Kerajaan Selangor menerusi Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM6 juta untuk membina dan menaik taraf taman awam di semua PBT tahun depan bagi merealisasi hasrat tersebut.
BACA LAGI: Selangor akan gerakkan sukarelawan bantu pembersihan pasca banjir
Sementara itu Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan menjelaskan, KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menumpukan pengurusan sisa pepejal untuk memastikan taman awam yang bakal dibangunkan kelak sentiasa bersih dan selamat.
“Kerjasama semua pihak juga diperlukan untuk tidak melakukan vandalisme bagi memelihara kemudahan awam yang disediakan nanti,” katanya.