Semasa

KDN gerakkan aset, hantar sukarelawan untuk misi bantuan pascabanjir

Sukarelawan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan digerakkan bagi misi bantuan pascabanjir, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi di Alor Setar pada Rabu beliau berkata, pasukan sukarelawan itu akan membantu kerja-kerja pembaikan serta pemulihan infrastruktur di institusi yang terjejas akibat bencana itu.

Bagi tujuan itu pihaknya telah mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi menyusun perancangan misi pascabanjir di negeri tersebut.

“Sukarelawan KDN melalui inisiatif Insan Madani akan membantu memulihkan institusi seperti masjid, rumah ibadat, dewan dan sekolah.

“Kami juga akan memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan, termasuk sampah pukal seperti almari dan perabot rosak yang perlu diuruskan dengan cekap,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, pihaknya mempunyai kelebihan dari segi aset seperti pam air berkuasa tinggi dan meriam air (water cannon) yang akan mempermudah operasi pembersihan dilakukan.

BACA LAGI:MoT kerjasama dengan NADMA, atur gerak aset kenderaan bantu misi banjir

Sementara itu tambahnya, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga telah diarahkan untuk menggerakkan program ‘Menyemai Kasih Rakyat’ bagi memudahkan proses menggantikan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran yang hilang akibat banjir, secara percuma.

Sehubungan itu, kenderaan bergerak seperti bas dan van akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memudahkan mangsa banjir.

“Ketua Pengarah Imigresen turut bersetuju untuk melaksanakan inisiatif yang sama bagi dokumen seperti pasport,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button