Global

Kementerian Luar pantau perkembangan semasa di Syria

Semua 37 pelajar Malaysia dan lima rakyat Malaysia lain di Syria dilaporkan selamat, menurut Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).

Menerusi satu kenyataan Wisma Putra memberitahu, pihaknya melalui Konsul Kehormat Malaysia di Syria sedang berhubung secara berterusan dengan rakyat Malaysia di negara itu bagi memastikan keselamatan mereka.

Media pada Ahad melaporkan pemerintah keluarga Assad selama lima dekad di Syria berakhir selepas pejuang menguasai Damsyik.

Presiden Syria, Bashar al-Assad – yang memegang kuasa selama 24 tahun selepas menggantikan bapanya – dilaporkan melarikan diri.

Sementara itu Wisma Putra menyeru rakyat Malaysia di rantau itu untuk mendaftar melalui E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi menerima maklumat terkini dan bantuan jika diperlukan.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, diminta menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Syria atau Kedutaan Besar Malaysia di Amman,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Konsul Kehormat Malaysia di Syria boleh dihubungi melalui talian +963933245555 atau e-mel [email protected].

Kedutaan Besar Malaysia di Amman pula boleh dihubungi melalui talian +962 6 5902400 / +96265934343 atau e-mel [email protected].

Sementara itu menurut Wisma Putra, Malaysia memantau secara rapat perkembangan situasi di negara itu serta potensi implikasinya terhadap kestabilan serantau.

Related Articles

Back to top button