Semasa

Kerajaan pertimbang kenaikan elaun kritikal anggota JBPM – Menteri KPKT

Kerajaan sedang mengkaji semula elaun kritikal bagi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan kebajikan mereka.

Perkara itu dinyatakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming kepada pemberita pada satu acara di Putrajaya pada Jumaat.

“Tahun hadapan (gaji penjawat awam) akan naik lagi, tapi tentang soalan itu adalah tentang mengenai elaun kritikal.

“Itu dalam kajian, memang itu sentiasa dalam agenda kementerian untuk perbaiki kebajikan (anggota bomba).

“Visi saya adalah supaya anggota bomba kita adalah setanding dengan pasukan uniform yang lain supaya mereka dipertimbang (kenaikan gaji) yang sewajarnya,” katanya selepas menyempurnakan flag off Skuad Insan Madani di pekarangan kementerian itu.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Atirah Sabu dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Untuk rekod, penjawat awam Persekutuan termasuk anggota JBPM bakal menikmati kenaikan gaji sehingga 15 peratus menerusi 2 fasa mulai bulan ini. Kenaikan itu merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

BACA LAGI: Pengorbanan anggota bomba perlu difahami bagi memastikan negara terus selamat 

Isu berkaitan elaun kritikal anggota JBPM dibangkitkan Ahli Parlimen kerajaan pada bulan lalu.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menggesa Putrajaya mengkaji semula gaji dan elaun anggota terbabit kerana pendapatan diterima kini disifatkan tidak setimpal dengan skop kerja yang dilakukan.

Related Articles

Back to top button