Selepas WeChat dan TikTok, Telegram dapat lesen
PETALING JAYA: Telegram menjadi penyedia perkhidmatan media sosial ketiga mendapat lesen beroperasi selepas Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meluluskan permohonan lesen itu pada 2 Januari dan Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, serta WhatsApp dijangka akan memperoleh lesen dalam tempoh terdekat.
“Jadi Telegram, TikTok, dan WeChat sudah lulus dengan Meta masih (ada) beberapa dokumen dalam proses nak hantar.
“Dijangka (dalam masa) terdekat akan selesai,” katanya, memetik portal tempatan pada Isnin.
Sementara itu, Fahmi telah mengarahkan SKMM mengadakan libat urus dengan Google yang mengendalikan YouTube untuk mengemukakan permohonan lesen operasinya.
Beliau berkata, walaupun masih dalam urusan libat urus, Google diberi amaran tidak melanggar undang-undang dalam negara seperti membenarkan adanya video scam dan video judi dalam talian.
Menurut Fahmi lagi, beliau menyerahkan kepada SKMM untuk berbincang dengan X (dahulunya dikenali Twitter) berhubung jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu 8 juta pengguna.