Kerajaan MADANI beri potongan 50% tol sempena cuti Tahun Baru Cina
PETALING JAYA: Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025, Kerajaan MADANI telah bersetuju dalam mesyuarat Kabinet hari ini untuk memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar biasa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat adalah sebanyak RM20.08 juta.
Katanya, diskaun tol itu adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan MADANI sejak tahun 2023 bagi keempat-empat musim perayaan utama di semenanjung Malaysia.
“Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta untuk pampasan pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, diskaun itu akan dilaksanakan bermula 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) hingga 11.59 malam 28 Januari (Selasa).
Alexander berkata, ia adalah bagi kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol kecuali di Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dan merancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini,” ujarnya.