Dari WEF ke ASEAN: Memanfaatkan wawasan Davos untuk kemajuan serantau
KUALA LUMPUR: Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 dijangka membawa satu komitmen yang tinggi bagi memperkukuh kedudukan blok serantau sebagai sebuah entiti yang bersatu, dinamik dan relevan di peringkat global.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia menekankan pembangunan ekonomi yang berpusat kepada rakyat serta usaha untuk memastikan pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan.
“Fokus utama Malaysia termasuk pembangunan infrastruktur, penyelarasan peraturan dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, menggariskan visi Malaysia untuk ASEAN dalam usaha membuka potensi ekonomi yang besar dalam kalangan negara anggota.
Selain itu, Malaysia turut menekankan kepentingan kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik, khususnya persaingan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.
“Isu Laut China Selatan menjadi salah satu isu utama yang akan ditangani dengan mengekalkan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS),” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Mohd Faiz berkata, Malaysia juga bertekad untuk menyelesaikan krisis di Myanmar melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara serta menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai anggota penuh.
“Menangani krisis di Myanmar kekal menjadi keutamaan dengan Malaysia komited untuk meyakinkan junta agar melaksanakan Konsensus Lima Perkara dan memupuk proses dialog yang lebih inklusif.
“Pada masa yang sama, pegawai Malaysia mesti berusaha keras untuk meyakinkan rakan sejawat mereka dalam ASEAN bahawa persatuan serantau itu memerlukan pendekatan jangka panjang yang lebih tersusun dan strategik tehadap isu Myanmar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia bercadang untuk memperkukuh ekonomi digital ASEAN melalui inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan penubuhan rangkaian keselamatan kecerdasan buatan (AI) serantau dengan memberi penekanan kepada teknologi baharu seperti AI dan rantaian blok.
Selain itu, Malaysia berusaha mempercepat peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui melalui ‘ASEAN Power Grid’ dan pelaburan hijau.
Malaysia juga menyeru sokongan antarabangsa dalam bentuk pembiayaan iklim dan pemindahan teknologi bagi memastikan peralihan tenaga yang adil.
ASEAN dengan lebih 60 peratus populasinya di bawah usia 35 tahun, mempunyai potensi besar untuk menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.
Malaysia komited untuk memanfaatkan kelebihan demografi ini dengan pelaburan dalam modal insan, pengurangan kemiskinan dan akses saksama kepada pendidikan serta penjagaan kesihatan.