Hubungan dua hala Malaysia-UK diperkukuh – Anwar
PETALING JAYA: Malaysia dijangka memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang menerusi lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke United Kingdom (UK).
Menurut Anwar, lawatan selama lima hari itu juga dijangka akan memberi nafas baharu kepada kedua-dua negara, selepas Keir Starmer memegang jawatan Perdana Menteri UK sejak Julai 2024.
“Jadual padat menanti saya dan delegasi bagi memanfaatkan segala ruang yang ada dalam menerokai inisiatif-inisiatif baharu terkait bidang perdagangan dan pelaburan, susulan penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) selain sinergi sektor ekonomi, ASEAN, global dan situasi di Myanmar dan Palestin.
“Moga agenda, misi dan segala yang dirancang di UK ini akan dipermudahkanNya dan mendapat manfaat kepada rakyat dan juga negara, InsyaAllah,” tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook.
Perdana Menteri dalam rangka kerja lawatan ke London, UK dari 15 hingga 19 Januari atas jemputan Starmer.
UK adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara bernilai RM15.30 bilion (AS$3.34 bilion) sehingga November 2024.